Saturday, 2 September 2017

Atas Nama Mu Mereka Datang

Suasana di Darul Hidayah Hidayah Permatang Tok Gelam begitu meriah sekali. Di suatu sudut ada kumpulan yang melapah daging. Ada memotong daging. Ada yang mendengar tazkirah.Saudara kita yang datang terdiri daripada berbagai bangsa. Ada orang Cina, ada orang India, ada orang Thai, ada orang Melayu. Semuanya datang kerana menyambut Aidil Adha. Dan atas dasar 'lita'araafu'.





Hari itu 3 ekor lembu dikorbankan. Pihak Darul Hidayah telah menjalinkan hubungan dengan Masjid Jamek Permatang Tok Gelam untuk urusan memasak 3 ekor lembu korban. Hidangan yang disediakan cukup menyelerakan seperti daging masak korma, air asam tomato dan daging masak cili..

Oleh Abu Rambairy

Gambar oleh Shakir Taha dan Sopfian Md Zain.

Berbicara Dengan Sang Presiden MRA Pusat

Malam masih muda. Sang Presiden tiba di tempat menginapnya dengan kereta putih Mercedesnya. Inikah kali kedua Aku bertemu dengannya. Wajahnya nampak serius. Tapi cukup mudah berbicara dengan kami.Kami cukup senang hati.



Bicaranya penuh makna. Beliau boleh berbicara secara marathon. Kami boleh menjadi pendengar yang baik. Ada ruang untuk berbicara. Sikap yang keterbukaaan. Dan kami cukup senang.

Dan dini hari sudah di ambang pintu. Aku menghantarnya pulang ke tempat penginapan.
Aku bertembung dengan lampu jalan yang samar-samar.


Oleh Abu Rambairy
Gambar oleh Jan.

Friday, 11 August 2017

SAUDARA KITA YANG CUKUP ISTIQAMAH

Sewaktu kami mengadakan jamuan hari raya puasa saudara ini dalam keadaan serba payah datang ke majlis ini. Beliau mengikuti kelas pengajian agama yang diadakan pada hari Isnin sampai Jumaat.

Tuesday, 18 July 2017

Bertemu Dengan Ustaz Abdul Malek As Sabahi

Program Tautan Kasih Bersama Saudara Kita anjuran MRA Pulau Pinang telah telah mempertemukan kami dengan mubaligh dari Sabah Ustaz Abdul Malek As Sabahi.
Beliau telah ditugaskan oleh pihak Jabatan Agama untuk menyampaikan ucapan kepada sahabat  dan Exco MRA Pulau Pinang.

Menurut beliau di sini lebih merupakan pusat perlindungan bagi mualaf. Demikian juga pendapat Ustaz Shahrul penyelia kompleks ini. Di kompleks terdapat asrama, bilik kuliah surau,pejabat pentadbiran ,kantin dan dewan besat.

Ustaz Abdul Malek mubaligh anak kelahiran Pitas,Sabah begitu mesra sekali dengan kami dalam majlis itu.Beliau begitu fasih sekali bahasa Melayunya walaupun beliau berketurunan Dusun/Kadazan. Malah kami merasakan semacam sudah lama kenal dengan beliau.



Kini beliau tinggal bersama keluarga di kompleks yang luas terbentang menghadap sawah bendang menghijau.



Oleh Abu Rambairy

Hidup Ini Beginilah Jadinya

Kami dari MRA Pulau Pinang mengadakan program sambutan  hari raya di Kompleks Darul Hidayah Permatang Tok Gelam, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.Program dinama "Tautan Kasih Bersama Saudara Kita".Program ini telah mengumpul 30 orang saudara kita.

Kami mengadakan program secara santai dan mudah.
Sedikit ucapan daripada pihak Jabatan Agama Islam disampaikan oleh Ustaz Abdul Malek As Sabahi.
Sedikit daripada pihak Malaysian Relief Agency cawangan Pulau Pinang.
Sedikit ucapan daripada Nur Aisyah, saudara kita.
Makan tengahari ala kampung.

Nasi dihidang.
Nasi dimakan bersama ulam dan dan sambal belacan.
Ada ikan kembung goreng dan kari ikan tenggiri.

Nur Aisyah menceritakan pengalaman dukacitanya memeluk Islam
Beliau dibuang oleh keluarganya
Dimarahi.
Diugut.
Terpaksa berpisah dengan ibu tersayang yang menjaga dari kecil hingga dewasa.
Detik-detik duka dilalui dengan penuh tabah.

Beliau terus menekuni mempelajari pelajaran agama Islam sampai kini.
Air dicincang tidak akan putus.
Biduk berlalu kiambang bertaut.
Hidup ini beginilah jadinya..



Oleh Muhammad Al- Rambairy Filfilan

Saturday, 15 July 2017

Terima Kasih PERTIM



Persatuan Tadika Islam Malaysia telah menyambut Hari Guru dan mengadakan jamuan Hari Raya Aidil Fitri Jumaat pada Jumaat lalu di Hotel Sri Malaysia, Kepala Batas Seberang Perai.

MRA Pulau Pinang telah diundang sebagai tetamu pada malam yang  diserikan dengan ucapan,nyanyi oleh guru-guru PERTIM(Persatuan Tadika Islam Malaysia) ucapan dan hidangan yang lazat.

MRA Pulau Pinang diwakili oleh Puan Aida Kaltan,Cik Iffaz Iskandar selaku Setiausah MRA Pulau Pinang, Encik Suhaimi PJK ,Penolong Setiausaha dan Penyelaras MRA Pulau Pinang.


Oleh MRA Pulau Pinang.

Thursday, 1 June 2017

Ziarah Tok Guru Muda

Lama sudah Aku tidak menziarahi Tok Guru ini.Kali terakhir pada tahun 2014. Rasanya baru kelmarin Aku bertemu dengannya menadahkan kitab Arab dan Jawi. Aku tidak mengambil kira pegangan politiknya. Biarlah dia dengannya. Itu hak dia sebagai seorang warganegara dalam sistem demokrasi.

Tapi sebagai seorang aktivis kemanusiaan segala perit jerihnya adalah juga perit jerih Aku juga.Kami sama-sama berkongsi impian dan harapan. Mendidik dan memimpin anak bangsa.

Pondoknya menerima 300orang pelajar belajar di sana. Tiap-tiap tahun di bulan Ramadan Ustaz Ismail Mahmud selaku Mudir di pondok akan mengadakan majlis berbuka puasa bersama pelajar dan masyarakat tempatan.

Ramai yang turut menyumbang  dalam majlis berbuka puasa ini.
Ada yang memberi beras.
Ada yang memberi gula.
Ada yang memberi kopi.
Ada yang memberi teh.
Ada yang memberi wang.
Ada yang datang membawa senyum

Akupun mengambil kesempatan untuk memberikan sedikit sumbangan bagi pihak MRA Pulau Pinang.

Pagi itu cuaca cukup tenang. Aku memerhati wajah Tok Guru muda ini yang berkulit sawo matang. Dia kelihatan tenang sambil melemparkan senyumannya sebelum Aku melangkah meninggalkan pondok rakyat itu.


Oleh MRA Pulau Pinang.

Monday, 22 May 2017

Dr. Saifullah- Bakti Kami Tiada Sempadan

MRA Kedah dipimpin oleh dokor muda yang bernama Dr. Saifullah Al Hany. Beliau dan tim bergerak dibidang kemanusiaan yang melibat kesihatan,kemiskinan, pendidikan dan gelandangan.Kerja-kerja kebajikan tidak terbatas di negeri Kedah sahaja. Ianya meliputi  Pulau Pinang dan negeri-negeri yang lain.

"Kami memang berhajat menghantar tim MRA Kedah  ke Kampucia. Tetapi ada sedikit masalah logistik dan sumber manusia." Keadaan ini menyebabkan pemergian tim MRA Kedah terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu menurut pakar ortopedik yang kini berkhidmat di Sultan Abdul Halim Mu'azam Syah Sungai Patani.

MRA Kedah memberikan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma kepada warga Rohingya yang tinggal Kampung Bagan Dalam, Butterworth, Pulau Pinang. Di sini  terdapat240 orang keluarga Rohingya.MRA Kedah dengan kerjasama MRA Pulau Pinang telah mengadakan pemeriksaan kesihatan secara percuma. Majlis berkhatan untuk anak-anak lelaki turut memeriahkan keadaan.. Seramai 21 orang anak lelaki Rohingya telah berjaya disunatkan. Kampung yang menjadi penempatan orang terhimpit dicelah-celah kondominium dan bangunan tinggi melangit..


Persiapan untuk berkhatan di Kampung Bagan Dalam, Butterworth,Pulau Pinang, Walaupun berada didalam keadaan yang serba kurang program menyunatkan 21 orang Rohingya berjaya dilakukan.

MRA Kedah turut bersama menyantuni gelandangan di Pulau Pinang bersama Soul Foundation dan MRA Penang.MRA Kedah menghulurkan kit kesihatan untuk kegunaan gelandangan di Pulau Pinang.

Puan Ramlah Md Salleh, setiausaha MRA Kedah seringkali ke Hujung Selatan memberikan sumbangan ke anak yatim dan fakir msikin. Beliau mengelola 'Rumah Berteduh' untuk wanita yang dirundung malang.

Dr.Farid selaku Penolong Setiausaha meluangkan masanya membantu MRA Pulau Pinang yang baru berusia setahun jagung.



Oleh Shakir Md Taha
whatsApp 013 4815577

Thursday, 18 May 2017

Sukarelawan MRA Menabur Bakti.


Dua orang sukarelawan MRA Kedah memberikan khidmat  mereka dalam program yang dianjurkan oleh MRA Kedah dengan MRA Pulau Pinang untuk mengunting rambut anak-anak etnik Rohingya di Sekolah Rendah Rohhingya Bukit Mertajam baru-baru ini. Sekolah itu dikenali dengan nama Roh Learning Centre yang terletak tidak jauh daripada Hotel Summit, Bukit Mertajam.

Dua orang sukarekawan Encik Amir dan Encik Hafizuddin memberi khidmat mengunting rambut secara percuma kepada anak lelaki etnik Rohingya .Mereka didatang khas dari  Giatmara Sungai Patani.


Oleh MRA  Pulau Pinang
Gambar oleh Noor Zeeda Abdul Aziz

Wednesday, 17 May 2017

Selamatkan Bumi Merdeka

Keadaan bumi kita semakin mengancam. Tangan-tangan  Yakjud dan Makjud semakin mengganas. Pokok-pokok ditebang semakin banyak. Keadaan imi mengancam eko sistem bumi. Eko sistem sebagaimana yang dijelaskan oleh Christine dan Michael Lavevelle dalam buku mereka "the organic garden merujuk kepada kumpulan tumbuhan dan binatang yang hidup bersama dipersekitaran tersebut. Persekitaran tersebut perlu dipelihara dan jaga dengan penuh rapi. Dalam hubungan ini Sahabat Alam Malaysia(SAM). Persatuan Pengguna Pulau Pinang(CAP),Malaysia Relief Agency cawangan Pulau Pinang(MRA), Jabatan Hutan Pulau Pinang, Persatuan Nelayan Cangkat Pulau Pinang dan mahasiswa Universiti Sains Pulau Pinang turun ke lapangan untuk membaiki keadaan yang hampir parah.



                                                                  Madu  Lebah di hutan paya bakau


Sebanyak 300 pokok anak bakau telah berjaya ditanam dari pagi sampai pukul 12.30 tengahari.Cuaca yang panas terik tidak menjadi penghalang. Semua yang turun ke Hutan Simpan Bayram begitu gembira sekali membuat kerja-kerja ini.

Makan tenghari disediakan. Mereka makan dengan penuh selera. Semoga dengan sedikit amal bakti kawasan ini akan terus segar menghijau. Terima kasih kepada semua


Oleh Shakir Md Taha

Gambar oleh Pn Noor Zeeda Abd. Aziz.














Saturday, 22 April 2017

Program Vaksinasi oleh MRA

Sekolah Rendah anak-anak Rohingya terletak di tingkat 1 rumah kedai berhadapan dengan Hotel Summit Bukit Mertajam. Aku sempat meninjau ke sekolah itu sewaktu program vaksinasi yang dilakukan oleh tim sukarelawan MRA Kedah dan NGO Salimah, Pulau Pinang. Program ini diketuai oleh Puan Ramlah Md Salleh dari MRA Kedah.Vaksin MMR diberikan oleh UNHCR.

Menurut guru besar sekolah itu, Cikgu Hussein seorang berbangsa Rohingya terdapat lebih 100 orang murid belajar di situ. Seramai 5 orang guru mengajar di situ.

Sekolah ini agak sesak dan kelas bercampur lelaki dan perempuan. Mereka mempunyai unifom sekolah, berbaju putih dan berseluar biru.


Program ini mendapat kerjasama yang baik daripada pihak pengurusan sekolah.Menurut Puan Ramlah Md Salleh selaku ketua NGO itu seramai 90 orang murid menerima suntikan MMR.











Anak orang Rohingya menerima suntikan MMR.
Ada yang menangis.
Ada yang diam menahan kesakitan.
Ada yang menjerit dan menangis dengan penh linangan air mata.

Guru besar sekolah ini Cikgu Hussein dan guru-gurunya hadir bagi menjayakan program ini.

Majlis berakhir jam 12,00 tengahari.










Guru Besar, Cikgu Hussein.

















Oleh Shakir Md Taha




Monday, 10 April 2017

Anak Muda Berganding Bahu Dalam MRA

Malaysian Relief Agency(MRA) adalah organisasi bantuan  kemanusiaan yang berdaftar di bawah Akta Pemegang  Amanah  1952 (PPAB 20/2010)..Ia bertujuan  membantu mereka yang memerlukan samada dalam negeri ataupun luar negara. Bantuan diberi merangkumi akibat bencana alam atau konflik. MRA sebuah organisasi yang tidak bermotifkan keuntungan.

Keadaan seperti telah menarik anak muda seperti Alex Bin Dennis untuk turut menabur bakti kepada masyarakatnya di Sabah. Beliau berasal dari Tawau, Sabah dan telah dilantik sebagai Penyelaras MRA Sabah.

Berumur 32 tahun dan kini berkhidmat di Unit Pembangunan Masyarakat Merotai Sabah.

Anak muda berbangsa Toraja ini begitu gigih naik turun ke Kuala Lumpur untuk mengikut kursus ataupun program yang dianjurkan oleh MRA Pusat.

Kerja kemanusiaannya merentas batas kaum dan agama. Atas nama kemanusiaan Alex turun membantu mereka yang ditimpa bencana alam dan orang yang terlantar.

Menurut Alex , beliau tidak menghadapi sebarang masalah untuk memohon cuti dalam melakukan kerja-kerja kebajikan ataupun turun ke lapangan bagi membantu masyarakat yang ditimpa musibah.

Beliau juga aktif dalam pengakap.Jadi tidak hairanlah beliau diberi kepercayaan dan dilantik sebagai Penolong Pesuruhjaya Pengakap daerah Tawau, Sabah.


Alex Bin Dennis Penyelaras MRA Sabah.











Oleh MRA Penang.
mrapenang@gmail.com

Sunday, 9 April 2017

Pengalaman Di Hujung Selatan Negara Gajah Putih

Saya sudah lama mendengar nama Patani. Tetapi tidak pernah berkesempatan berkunjung ke Patani sehingga mencecah usia 50an. Nama Sheikh Daud tidak asing bagi mereka yang belajar di pondok. Nama Tok Sheikh ini sentiasa meniti dibibir mereka.Kitab Sheikh ini adalah sebahagian daripada diri mereka.Semua pelajar pondok menggunakan kitab yang dikarang oleh pujangga dan ulamak tanah jawi ini. Tapi ramai yang tidak mengetahui sejarah perjuangan Tok Sheikh Daud Al-Fathoni. Sejarah perjuangan Sheikh yang besar dan cukup alim tidak diajar di Malaysia khususnya di sekolah kerajaan. Mungkin ada pelajar pondok yang belajar dan mengetahui sejarah perjuangan Sheikh ini tetapi jumlahnya boleh dibilang dengan jari. Pendidikan yang disemai dan ditanam oleh Sheikh Daud cukup berkesan dan sukar dipadam walaupun ada usaha bersungguh-sungguh dilakukan. Umat Melayu Islam Patani masih berpegang kuat dengan ajaran Iskan khususnya wliayah Jala.Menara(Narathiwat) dan beberapa kawasan dalam wilayah Singgora. Empat wilayah Melayu Islam ini berhempas pulas mempertahankan pegangan agama Islam dan kebudayaan Melayu. Walaupun begitu umat Islam belum mampu memartabatkan bahasa Melayu sebagaimana yang dihasratkan oleh pejuang utama keadilan, Haji Sulong. Arus Siamisasi begitu kuat memukul minda umat Melayu Islam diHujung Selatan. sehingga sebilangan besar mereka tewas dan lebih selesa mengelarkan ataupun membahasakan diri mereka sebagai "Thai Muslim"
Dalam kitab Sejarah Melayu banyak sekali menyebut nama Singgora (sekarang disebut Songkhla) Contohnya: Telur itek dari Singgora, Pandan terletak di Langkahi, Darahnya titek di Singapura Badannya terhantar di Langkawi. Semua wilayah ini milik umat Melayu Islam pada suatu masa dahulu. Dalam hubungan ini saya tertarik dengan ucapan Lord Macaulay di arlimen British. Beliau melihat betapa berkesan dan ampuh sekali pendidikan Islam di India sehingga sukar sekali dicairkan iman umat Islam. Lord Macaulay semasa di India tidak bertemupun dengan seorang pengemis ataupun pencuri. Budayanya begitu luhur srkali. Menurut Lord Macaulay lagi, selagi sistem pendidikan Islam di India menjadi pasak dan tonggak kehidupan umat Islam di India selagi itu British tidak akan mampu menguasai India. Dengan memperkenalkan sistem pendidikan Inggeris satu demi satu satu budaya dan cara hidup umat Islam dihakiskan setelah British melebarkan jaring pendidikan pendidikannya ke wilayah Nusantra ini dan Patani juga tidak kecuali.


  Apa yang menarik tentang wilayah di Hujung Selatan ini tidak ditemui seorang pengemispun. Saya telah berkelana di wilayah ini sejak tahun 2013 sehinggalah sekarang. Di Jalapun tiada. Di Singgorapun tiada. Di Menarapun tiada ditemui Di Patanipun tiada.


Apa yang tiada di wilayah yang terluka ini ialah keadilan dan keamanan. Umat Islam di sini amat merindui keadilan. Mereka rindukan keamanan. Keadilan dan keamanan masih jauh berbalam-balam.

Tulisan asalnya oleh penulis tersiar dalam blog Thailand Deepsouthwatch.org/ms/node/9616 atas nama Tun Sri Lanang Al Filfilan Oleh Shakir Md Taha.

Tuesday, 4 April 2017

Pertemuan Dengan Cik Syazwani, Ahli MBPP

Pihak MRA Pulau Pinang dalam pertemuannya dengan Cik Noor Syazwani, ahli  MBPP(Majlis Bandaraya Pulau Pinang) bersetuju bekerjasama menjayakan program bersama anak yatim.

Pihak MRA Pulau Pinang akan terlibat dalam beberapa slot yang melibatkan pendidikan dan motivasi.

Cik Syazwani selaku pengarah program menjelaskan program  ini melibatkan kanak-kakak yang berusia 8  hingga 12 tahun.

Beliau berharap ada dermawan yang sudi menghulurkan bantuan untuk memeriahkan lagi program sehari ini.

Turut hadir dalam perbincangan ini ialah Dr. Faried dari MRA Kedah dan Setiausaha MRA Pulau Pinang Cik Iffazlini Naim Iskandar  serta Puan Yati.




Cik Iffazlini Naim Iskandar.



















Oleh Shakir Md Taha

Tuesday, 28 March 2017

Berkhatan Anak-anak Rohimgya Di Kampung Bagan Dalam

MRA Kedah dengan kerjasama  'Interactive  Dakwah Training'  (IDT) dan bantuan dari Yayasan Yarasert sokongan MRA Pulau Pinang berjaya menyunatkan 22 orang nank-anak Rohingya di Kampung Bagan Dalam baru-baru.

MRA Kedah dengan barisan doktor mudanya dengan tekun sabar menjalankan tugasnya  walaupun dalam keadaan seadanya.

Majlis ini diadakan disekolah yang dahulunya rumah yang disewakan dengaan bayaraaaan rm250.00 sebulan.. Sekolah ini tidak ada penghawa dingin. Hanya kipas yang mendamaikan keadaan di sini..

 Pihak MRA Kedah turun dengan bekalan dan kemudahan yang  dibawa. Petugas-petugas menjalankan  tugas tanpa sebarang rungutan ataupun keluh kesah.

Encik Lim Jooi Soon, Pengerusi IDT turut dalam majlis yang dirasmikan oleh Penyelaras MRA Pulau Pinang pada pagi itu.


 Oleh MRA Pulau Pinang.

Monday, 20 March 2017

SOUL FOUNDATION MEREDAH MALAM

Malam masih muda. Baru pukul 10.30 malam. Persekitaran Masjid Kapitan agak tenang. Di hadapan Masjid Kapitan Keling masih ramai yang berbaris untuk membeli nasi kandar. Penarik beca sudah keletihan setelah  berhempas pulas sekuat tenaga mengayuh beca untuk mendapat rezeki  hari ini. Penarik beca tidur malamnya di atas beca. Itulah rumahnya.Itulah istananya. Itulah mahligai. Penarik beca adalah warga gelandangan.


Eswardi dan rakan-rakan dari Soul Foundation menyantuni gelandangan di sekitar Masjid Kapitan Keling.KOMTAR dan di sekitar stesen Bas Kuning. Di sinilah istana hinggap mereka,

Ada gelandangan Melayu.
Ada gelandangan Cina
Ada gelandangan India.
Ada gelandangan yang luka.
Ada gelandangan yang duka.
Mereka adalah gelandangan yang tidak berharta.

Malam itu MRA Penang dan Kedah berganding bahu menghulurkan sebungkus nasi dan sebotol air buat menemani perut yang lapar.

Menurut Eswardi pengasas Soul Foundation, malam ini tidak ramai gelandangan yang muncul. Bagaimanapun 150 bungkus nasi dapat diedarkan.

Anak-anak muda dari Soul Foundation dan MRA melakukan kerja dengan penuh sungguh.
Tiada rungutan
Tiada wang saku
Yang ada hanyalah senyuman dan tawa  dibawa pulang bersama angin malam.

Kotak inilah hamparan permaidani gelandangan kota. Biarpun limpahan cahaya membanjiri wajah mereka, tidak menghalang untuk tidur nyenyak.
















Oleh Shakir Md Taha